SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih 20 hari lalu, kita menghabiskan banyak masa dengan telefon. Ada yang ‘berkampung’ di Facebook dan ada yang lebih gemar ‘melepak’ di dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp menantikan video tular.

Pergantungan kita pada medium komunikasi itu sama ada untuk berhibur atau mengikuti berita menjadi semakin ketara walaupun ada masanya kandungannya lebih banyak menyajikan yang negatif sehingga mencetuskan kegelisahan.

Penulis sendiri kerap resah setiap kali menonton video-video berkaitan Covid-19 yang dikongsi di media sosial. Jantung berdegup laju, rasa tidak selamat walaupun berada di rumah sendiri dan cemas ketika keluar membeli barang keperluan.

Itu sesuatu yang penulis harap masih lagi normal, sekurang-kurangnya kita masih ada kesedaran untuk berwaspada. Sebolehnya saya memilih untuk tidak menonton video-video yang mencetus rasa cemas. Takut lama-kelamaan memberi kesan tidak baik kepada kesihatan mental.

Selain persediaan dan langkah kesihatan untuk mencegah jangkitan Covid-19, isu kesihatan mental juga merupakan sesuatu yang perlu diberikan perhatian kerana ia melibatkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan seorang pesakit yang membunuh diri di Hospital Serdang selepas disyaki dijangkiti Covid-19, sedangkan ujian kemudian mendapati mangsa negatif wabak berkenaan.

Pada 25 Mac lalu, seorang jururawat di barisan depan negara Itali membunuh diri selepas disahkan positif virus itu kerana bimbang akan menjangkiti orang lain dan di New Delhi, seorang lelaki disyaki positif Covid-19 maut selepas terjun dari tingkat 7 sebuah hospital.

Walaupun baru beberapa bulan menyerang, hubung-kait dan kesan penularan Covid-19 dengan kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sahaja mencetuskan ketakutan pada virus itu sendiri bahkan memberi kesan lebih besar jika dilihat dalam jangka masa panjang.

Golongan yang kurang pendapatan sudah mula merasainya. Begitu juga golongan bujang yang tinggal sendirian di tengah-tengah kota, mereka yang perlu menguruskan ahli keluarga yang sakit dan sebagainya.

Suka atau tidak, sekatan pergerakan awam ini telah menjejaskan periuk nasi jutaan rakyat Malaysia yang akhirnya memberi tekanan tidak terperi untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Kegagalan menguruskan tekanan demi tekanan sudah pasti akan meletakkan seluruh ahli keluarga dalam keadaan ‘mental’.

Dan pada peringkat ini, kerajaan perlu lebih bersedia untuk melihat pertambahan kes keganasan rumah tangga, penderaan, perceriaan dan pengabaian warga tua.

Justeru, kerajaan melalui agensi-agensi yang berkenaan perlu segera mengenal pasti kumpulan sasaran yang terkesan, kerana ‘perang’ melawan Covid-19 ini tidak boleh dilihat pada aspek pencegahan semata-mata tetapi kita juga perlu bersedia pada peringkat pasca.

Di sinilah pentingnya setiap jabatan dan agensi kerajaan memainkan peranan mereka dalam memperkukuhkan komunikasi kerajaan dengan rakyat khususnya dalam menyampaikan maklumat secara lebih berkesan.

Dan ternyata, kegagalan komunikasi dalam situasi yang berisiko seperti sekarang telah memperlihatkan kesannya di banyak negara. Cuma kita bernasib baik kerana masih tidak terlewat dalam langkah-langkah pencegahan.

Namun persoalan yang berlegar di fikiran penulis pada ketika ini adalah, adakah kerajaan telah mengambil tindakan dan langkah yang mencukupi untuk memastikan setiap maklumat penting sampai ke telinga rakyat.

Adakah ia disalurkan dengan meluas dan berkesan ataupun penyebarannya hanya berlegar dari rakyat kepada rakyat dalam sosial media semata-mata?

Bagaimanapun harus diingat, walaupun kita sudah lama beralih kepada maklumat di hujung jari, jangan sesekali kita abaikan warga tua dan masyarakat di luar bandar yang masih mengharapkan sesuatu dari kaca televisyen mereka.

‘Iklan-iklan’ dan pesanan khidmat masyarakat seperti kempen cegah denggi dan musuhi dadah yang cukup meninggalkan kesan di minda masyarakat suatu ketika dahulu perlu dihidup dan diperbanyakan semula.

Ketika inilah juga peranan dan fungsi agensi yang berkaitan dengan penyiaran dan stesen TV memaksimumkan program berbentuk informasi seperti forum, temubual dan perkongsian daripada pakar.

Yang penting sebagai rakyat Malaysia, kita dapat sama-sama menyumbang dalam peperangan ini. Jika tidak berdiri di barisan depan, di belakang pun kita berbangga tanda solidariti.

Leave a Reply