TANGGAL 4 Mei 2020 kerajaan memulakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi memulihkan semula kesihatan ekonomi negara yang banyak mengalami kerugian.

Ketika perintah ini, rekod kes baharu wabak pendamik Covid-19 sedang bertambah hari demi hari, menyebabkan rakyat gusar dan beberapa negeri mengambil langkah untuk tidak menurut saranan itu.

Maka hari ini adalah ujian sejauh mana setiap rakyat Malaysia boleh membuktikan disiplin diri masing-masing dengan normla-normal yang baharu.

Dua isu kesihatan yang bertembung ketika kerajaan membuat keputusan mengenai PKPB iaitu Kesihatan Diri dan Kesihatan Ekonomi.

Isu ini sebenarnya cabaran terbesar buat mana-mana kerajaan dalam dunia. Lebih khusus lagi, ia adalah ujian paling getir untuk seorang Perdana Menteri itu sendiri yang baharu saja mengambil alih pemerintahan negara.

Bagi penulis, tindakan yang diambil kerajaan adalah untuk kestabilan kerajaan dan negara sendiri.

Semua dari kita pasti bersetuju bahawa kesihatan dan nyawa adalah aspek yang terpenting.

Cuma sebahagian besar rakyat melihat isu kesihatan dan nyawa hanya dari sudut tidak dijangkiti virus sahaja, berbanding kerajaan melihat dari sudut sokongan asas itu sendiri penting untuk menyelamatkan nyawa.

Seperti yang PM sebutkan, kita akan terus hilang RM2.4 billion sehari dan jika ditambah sebulan sahaja lagi PKP, kerugian boleh cecah hampir RM100 bilion.

Negara cuma mempunyai simpanan lebih kurang RM400 bilion. Tak mungkin kita sanggup mempertaruhkan nasib negara dengan wang simpanan negara semata-mata.

Situasi Covid-19 di dunia, tiada tanda-tanda pengakhiran langsung setakat ini.

Bantuan untuk rakyat mesti diteruskan. Gaji penjawat awam tetap perlu dibayar. Ini juga semuanya bilion yang perlu dikeluarkan tanpa dapat diganti semula perbelanjaannya.

Jika negara kita gagal dalam pertarungan ini dan ekonomi kita tumbang bak nangka jatuh, ngeri yang amat untuk dibayangkan.

Bayangkan dalam situasi negara muflis, wang dalam bank tinggal sekadar angka.

Kerajaan sudah jalankan bahagiannya. Sekarang kita bicara bahagian kita.

Kita boleh terus sinis dengan tahap kebolehpercayaan dan kemampuan rakyat kita dalam mematuhi arahan, sebab kita tahu perangai segelintir kita macam mana.

Kita boleh terus tulis dan dendangkan lagu-lagu sedih, risau dan gusar.

Soalnya sampai bila?
Sehingga semua benar-benar pulih. Benar-benar pulih itu bila?

Sebenarnya kita mampu, jika kita mulakan dengan jaga diri dan lingkungan kita. 95 peratus daripada kita patuh PKP dan ia bukan angka yang kecil.

Ini bermakna kelonggaran bersyarat juga kita mampu patuh.

Malaysia tak ikut Itali ketika mereka gagal.
Kita tak ikut Amerika kerana jelas mereka gagal. Sebaliknya kita dengan cara kita. Sebagai rakyat, harus disiplin. Wajib beri kerjasama.

Bagi penulis, masalah sekarang bukan kerajaan. Masalah sekarang adalah rakyat.
Tukar kerajaan 10 kali pun, kalau rakyat memang jenis tidak patuh, alamatnya tak akan berkesudahan.

Kerajaan bagi pelepasan sebab fikirkan keadaan ekonomi. Sekarang, kitalah frontliner. Kita berjuang memerangi Covid-19 untuk diri kita dan keluarga kita sambil merancakkan ekonomi. Kita jaga kita!

Leave a Reply